GIT IN ASIA - Make Money SAVE MONEY Visit http://gitnasia2u.blogspot.com

Ruangan Kesihatan

Berita Terkini

1.6 juta hidap kencing manis menjelang 2025

KUALA LUMPUR, Khamis Lebih 1.6 juta penduduk dewasa di negara ini menghidapi penyakit kencing manis (diabetes), hampir dua kali ganda melangkaui anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Malaysia untuk 2025.

WHO menganggarkan 807,000 penduduk dewasa di negara ini menghidapi penyakit itu dalam tempoh 23 tahun dari sekarang.

Pengarah yang juga Pengasas Institut Diabetes Negara (Nadi), Prof Datuk Dr Mustaffa Embong, berkata keadaan itu membimbangkan dan ia disebabkan pengurusan penyakit yang tidak berkesan selain faktor keturunan, perubahan corak hidup dan amalan pemakanan.

Beliau berkata, kebanyakan penghidap kencing manis dikesan lewat disebabkan lambat mendapat rawatan, iaitu hanya selepas komplikasi muncul. Katanya, kira-kira 30 peratus pesakit kencing manis yang mendapatkan rawatan sudah mempunyai komplikasi. Keadaan ini disebabkan kurangnya pemahaman dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit itu.

Keadaan ini juga menyebabkan pesakit tidak menjaga kesihatan mereka walaupun selepas disahkan menghidapi kencing manis, sekali gus mendedahkan mereka kepada komplikasi seperti sakit jantung, buah pinggang dan buta, katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, antara langkah utama yang perlu dilaksanakan ialah:
a) meningkatkan pengetahuan orang ramai, termasuk pesakit kencing manis mengenai penyakit itu menerusi pendidikan.

b) kakitangan perubatan juga harus memainkan fungsi menangani penyakit itu dengan menjalankan ujian darah bagi mengesan penyakit kencing manis lebih awal.

Beliau berkata, ujian darah adalah ujian yang tepat bagi mengesan penyakit kencing manis dan bukan ujian urin (air kencing) seperti yang dilakukan kebanyakan doktor ketika ini.

Selain itu, katanya, majoriti pesakit kencing manis dewasa di negara ini berusia antara 20 tahun dan 30 tahun, berbanding purata 50 tahun di negara Barat manakala kebanyakan pesakit kanak-kanak atau penghidap kencing manis Jenis I, berusia antara 18 tahun dan 20 tahun berbanding antara lima dan 10 tahun di negara Barat.

Keadaan itu, katanya, turut membimbangkan kerana ia menyebabkan pesakit lebih berisiko tinggi untuk menghadapi komplikasi.

Beliau berkata, kajian juga menunjukkan penyakit kencing manis di negara ini dan beberapa negara Asia lain bukan disebabkan masalah berlebihan berat badan atau gemuk.

Kajian menunjukkan majoriti pesakit kencing manis di negara ini mempunyai indeks jisim badan (BMI) normal. Begitu juga pesakit jantung di negara ini, mereka mempunyai BMI normal, katanya sambil menambah wanita India adalah kumpulan paling tinggi menghidapi penyakit kencing manis, diikuti masing-masing lelaki India, wanita dan lelaki Melayu serta wanita dan lelaki Cina.

Sehubungan itu, beliau berkata, penting untuk setiap individu menjalani ujian darah bagi memastikan sama ada mereka menghidapi penyakit berkenaan atau tidak.

Sumber : Berita Harian, 23hb Ogos 2002

Home | Profail Syarikat | Produk | Testimoni | Jutawan CNI | Aktiviti | Hubungi Kami | Mengenai Kami | Ruangan Khas

CNI